SIAPA GURU PENDIDIKAN SEKS ANAK-ANAK KITA?

PORNOGRAFI SEBAGAI GURU?

Situasi ini sangat serius. Penemuan di lapangan telah memberikan satu amaran buat ibu bapa serta sesiapa sahaja yang prihatin. Ilusi Minda telah menemui set minda yang mula menjadi 'trend' dan akhirnya ia membawa kepada banyak kemudaratan. Ramai anak-anak kita yang sudah akil baligh, mereka terbiasa dengan pornografi, akhirnya mereka menyatakan, 

i) Saya sudah dewasa. Saya rasa saya boleh tengok pornografi
ii) Porn memberikan set kemahiran seks yang saya perlukan
iii) Pornografi boleh menghilangkan stress
iv) Pornografi boleh memberikan keyakinan pada diri
v) Mak ayah tidak bercakap tentangnya, jadi kami belajar sendirilah!

dan macam-macam lagi set minda yang ada tumbuh di dalam pemikiran generasi kita.

PORNOGRAFI TIDAK MENGAJARKAN APA-APA!

Saat ini, pornografi telah mengoptimumkan seluruh potensi internet untuk mencapai penggunanya yang baru, terutamanya kanak-kanak. Mesej pornografi terdapat di dalam musik, video klip, iklan-iklan, movies, sosial media malah di Youtube dengan pelbagai cerita kartun yang mengelirukan!

Pornografi tidak mengajarkan apa-apa tentang seks melainkan ia mengandungi unsur kekerasan, mengaibkan, memalukan, eksploitasi, jenayah dan bermacam-macam lagi. Ia bukan hanya sekadar seks tetapi lebih dari itu! 

Jika mesej-mesej seperti ini masuk ke dalam pemikiran kanak-kanak, remaja mahupun belia dan dewasa, maka, keyakinan terhadap perilaku seksual yang normal dan selari dengan nilai-nilai murni, adab dan kesucian agama mula tercabar, malah mula pudar dan hilang dari tindakan. Akhirnya, keganasan, jenayah dan apa sahaja perilaku yang melanggar undang-undang dan nilai agama bakal muncul.

SIAPAKAH YANG LAYAK MENGAJARKAN TENTANG SEKS KEPADA ANAK-ANAK?

Saat ini, semua golongan ingin mengambil inisiatif dari apa yang berlaku. Itu adalah positif. Kita harus menghargai semua peranannya. Namun yang demikian, ibu bapa jangan terlalu longgar tentang hal ini. Ibu bapa adalah pintu pertama kepada perubahan dan pembinaan dunia yang lebih baik pada masa akan datang. Ibu bapa adalah individu yang PERTAMA akan dipertanggungjawabkan oleh Tuhan. Bukan kerajaan, bukan NGO, bukan guru! 

Sabda nabi saw; lah yang bertanggungjawab mewamakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi ... (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika anak-anak kita dicorakkan pemikiran dan kelakuan seksualnya oleh pornografi, maka ini adalah satu corak yang buruk yang harus kita baiki. Minda anak-anak kita seperti span, ia menyerap saja apa yang dilihat, didengar dan dirasakan. Maka, salah satu peranan ibu bapa ialah menghalang mesej pornografi ini dari diserap oleh anak-anak!

WUJUDKAN KOMUNIKASI INI!

Ramai di antara ibubapa yang malu dan segan, malah ada yang mengatakan, "aah, biarlah mereka belajar sendiri. Pandai-pandailah nak hidup!' Inilah persepsi yang harus kita baiki. Malu dan segan bukanlah penyelesaian dan ia akan memakan diri. Ilusi Minda yakin, semua ibubapa sedia dan sering mengikuti perkembangan akademik anak-anak, namun yang demikian, mengapa hal yang penting, perkembangan seksual mereka ini terabai dan membiarkan mereka 'pandai-pandai sendiri'?

Cuba dapatkan buku PENDIDIKAN ANAK-ANAK DALAM ISLAM. Kaji dan wujudkan komunikasi tentang pendidikan seks menerusi buku penting ini. Anda pasti dapat melihat, betapa pentingnya pendidikan seksual di komunikasikan di dalam rumah!

APA YANG BOLEH TERJADI JIKA PENDIDIKAN INI TIDAK DIKOMUNIKASIKAN?